PRN Sabah: Warisan ‘Kekal’ tanding solo – Shafie

KOTA KINABALU : Parti Warisan akan tetap bertanding solo pada PRN Sabah, kata Presidennya Datuk Seri Shafie Apdal yang menegaskan pendirian itu dibuat kerana enggan tunduk tuntutan parti lain jika mereka menjalinkan kerjasama.

Shafie berkata partinya enggan bergantung kepada tekanan politik termasuk tuntutan jawatan bagi kepentingan peribadi pihak tertentu sebagai syarat kerjasama dengan gabungan politik lain.

“Kita pergi solo supaya masa depan rakyat Sabah tidak lagi bergantung dengan tekanan gabungan yang hanya mahukan jawatan,” katanya selepas menghadiri satu program di Kota Belud.

Awal bulan ini, Shafie, bekas ketua menteri Sabah berkata Warisan yang dipimpinnya akan bertanding PRN secara solo sekali gus menolak kemungkinan membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain.

Bekas naib presiden Umno itu turut mendakwa Warisan parti berbilang kaum yang mewakili semua rakyat Sabah.

Kerajaan Sabah mempunyai tempoh sehingga Oktober ini sebelum DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

Mengulas lanjut, Shafie berkata mereka juga bergerak solo pada PRN selaras kehendak rakyat negeri itu yang mahu perubahan.

Menurutnya, perubahan dan hala tuju itu termasuk memastikan Sabah tidak lagi ketinggalan dari pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan dan peluang kerja.

“Kita dapat lihat anak-anak kita hampir 300,000 mencari nafkah di Semenanjung atau luar negara sedangkan negeri ini kaya dengan sumber.

“Takkan tak boleh manfaatkan untuk membolehkan anak-anak Sabah dapat cari rezeki di tempat asal,” katanya.