PRN Johor: PN umum calon minggu depan

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mengumumkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada minggu depan selepas melakukan beberapa penelitian.

Setiausaha Agung BERSATU merangkap Pengarah Pilihan Raya PN Negeri Johor, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya mengambil kira pelbagai aspek termasuk memastikan calon bakal bertanding bebas sebarang rekod jenayah dan sebagainya.

“Kita sudah memastikan calon-calon yang diterima daripada parti komponen, namun dari segi pemilihan calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kita akan teliti dulu.

“Kita akan melihat sama ada mereka memiliki rekod jenayah, rekod di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya. Pembahagian kerusi dalam PN juga sudah ditentukan, namun ia akan dimuktamadkan pada malam ini kerana terdapat beberapa perubahan bakal dilakukan,” katanya laporan Berita Harian hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kotak Prihatin di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Bandar Baru Uda di sini, hari ini.

Hamzah berkata, kemenangan pada pilihan raya adalah sesuatu yang ditentukan oleh rakyat dan ia akan terbukti apabila tiba masanya.

“Kita mahu membuktikan kepada rakyat kita satu kumpulan memikirkan tanggungjawab membantu mereka.

“Tidak kira kita masih berkuasa atau tidak, tetapi kita adalah kumpulan sentiasa prihatin,” katanya.