PRN Johor: Calon Warisan di DUN Permas yakin pengalaman dalam NGO beri kelebihan

JOHOR BAHRU: Calon Parti Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Mohamed Ridza Busu yakin pengalaman dalam menyertai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) memberi kelebihan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Katanya, beliau juga mempunyai pengalaman selama 12 tahun sebagai Peguam bertauliah menyebabkannya sangat dikenali di Pasir Gudang, khususnya di Permas.

“Saya kini aktif dalam aktivis masyarakat disamping menjalankan perniagaan…Tiada sebarang isu bersejarah dalam politik atau kontroversi yang mungkin menyebabkan pengundi beralih ke parti lain.

“Kita yakin pengundi akan memilih calon Warisan dengan muka baharu serta bersih berbanding parti lain. Lagi pun pengundi sudah bosan dengan cara politik lama,” katanya.

Ridza berkata, ahli politik dalam gabungan lain sering berbalah antara satu sama lain dan ini hanya akan mengelirukan pengundi sekali gus memberi kelebihan kepada Warisan.

“Membantu orang adalah minat saya dan apabila Warisan tawar platform untuk menjadi calon, ini merupakan landasan terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat khususnya di DUN Permas.

“Lebih seminggu berkempen, saya lihat pengundi semakin yakin menerima kehadiran Warisan sekali gus menambah keyakinan untuk memenangi DUN Permas,” katanya.

Isu utama adalah jurang kekayaan menjadi isu utama di Permas,  Ridza berkata, dengan segelintir penduduk hidup di bawah paras kemiskinan.

Beliau berharap dapat menangani isu ini sekali gus dapat memperbaiki keadaan hidup golongan berpendapatan rendah di masa depan.

“Perkara ini bukan mudah kerana saya perlu realistik, walaupun keenam-enam calon Warisan menang kerusi yang ditandingi, Warisan tetap berada dalam blok pembangkang,” katanya.

Ridza akan bertanding dalam pertembungan lima penjuru di Permas menentang Syed Othman Abdullah (Pakatan Harapan), Baharuddin Md Taib (Barisan Nasional), Arifin Nasri (Perikatan Nasional) dan Mahaya Ahad (Pejuang).

Pada PRN Johor Warisan menampilkan enam calon antaranya muka baharu – adalah Hishamuddin Busri (Pekan Nanas); Sandara Segaran Arumugam (Bekok); Mohamed Noor Suleiman (Mahkota); Victor Chen (Johor Jaya), dan Lee Ming Wen (Bukit Batu).