Polis tahan semula tiga suspek kegiatan judi haram Tawau

KOTA KINABALU: Tiga individu termasuk dua wanita, yang sebelum ini direman tujuh hari dan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ditahan semula pada Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes rasuah penguat kuasa bagi melindungi kegiatan judi haram di Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata ketiga-tiga individu terbabit ditahan di ruang lobi sebuah bangunan di Sabindo, Tawau, kira-kira 10.38 pagi bagi membantu siasatan polis di bawah Akta Rumah Judi Terbuka dan Undang-Undang Pencegahan Jenayah.

Beliau berkata hasil risikan dan siasatan lanjut ke atas suspek terbabit telah membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 30-an pada hari sama kira-kira 2.15 petang di Taman Anugerah, Jalan Anugerah, Tawau kerana dipercayai turut terlibat dalam menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

“Lelaki itu juga dipercayai seorang daripada ahli sindiket perjudian tambah nilai dalam talian. Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas semua tangkapan telah dibenarkan hingga esok.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953; Seksyen 4A (a) dan Seksyen 4b (a) akta sama, di samping tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Hazani berkata polis Sabah dengan kerjasama SPRM Sabah kini giat menjalankan siasatan dan melancarkan serbuan bagi mengesan ahli sindiket berkenaan serta lain-lain sindiket dalam usaha mengekang aktiviti perjudian dalam talian dan loteri awam tanpa lesen daripada berleluasa di negeri itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy dalam sidang media sama berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan terhadap anggota penguat kuasa dibuat.

Ini kerana katanya, siasatan ketika ini memberi fokus kepada tiga suspek terbabit mengikut Seksyen 16 (b) (B) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Pada 21 Jun lepas, SPRM Sabah menjalankan satu serbuan di sebuah premis di bandar Tawau kerana menjalankan aktiviti perjudian haram dan hasil serbuan itu, tiga suspek ditangkap melibatkan seorang lelaki berumur 42 tahun yang juga ketua kumpulan sindiket terbabit dan dua wanita berumur 57 dan 23 tahun.

Hasil serbuan, SPRM Sabah merampas wang tunai RM39,199 serta menyita akaun bank berjumlah RM586,576.72 bagi empat bank milik suspek yang dipercayai hasil daripada kegiatan aktiviti perjudian haram.

— BERNAMA