PNK Beluran miliki bangunan pejabat baru di Pelatong Plaza

BELURAN: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran kini memiliki premis pejabat baru bagi memastikan peranan berkesan persatuan itu membantu golongan nelayan di daerah Beluran.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee hari ini telah merasmikan bangunan pejabat baru PNK Beluran itu yang terletak di Pelatong Plaza.

Pembinaan bangunan baru PNK Beluran ini dengan peruntukan kos pembelian sebanyak RM526,000 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah untuk pengurusan PNK Beluran yang akan memanfaatkan semaksima mungkin penggunaan bangunan termasuk operasi, pentadbiran yang lebih cekap serta mengadakan aktiviti-aktiviti pembangunan sosioekonomi masyarakat khususnya dalam kalangan ahli-ahli nelayan.

Dalam ucapan pada majlis itu, Ronald berkata pada tahun ini sahaja, MAFI telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM77.2 juta ringgit kepada LKIM bagi projek-projek Projek Rancangan Malaysia Ke–12.

Turut disampaikan pada majlis tersebut adalah Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) – Enjin Sangkut kepada 30 orang penerima yang merupakan ahli PNK
Beluran dengan peruntukan sebanyak RM10,000.00 seorang dan jumlah keseluruhan sebanyak RM300,000.

“Selari dengan hasrat MAFI bagi menjadikan sektor pertanian dan industri makanan termasuk sektor perikanan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, pelbagai lagi program dan pendekatan baharu telah dirangka sepanjang tahun ini bagi meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa serta
memenuhi piawaian,” katanya.

Ronald berkata kerajaan melalui MAFI juga sedar kepentingan dan peranan penting yang dimainkan oleh Persatuan Nelayan Kawasan terutama di kawasan Beluran dalam usaha menjaga hal ehwal kebajikan dan menjadi suara nelayan setempat untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Ini menjadi terbukti bahawa Kerajaan Keluarga Malaysia menitik beratkan segala aspek dalam memastikan rakyat khususnya nelayan mendapat kemudahan yang baik di semua peringkat, katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan kebajikan golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan sekuriti bekalan makanan negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Yusoff Othman turut berkata terdapat sebanyak 16 buah Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) sebagai bapa kepada 15 lagi Persatuan Nelayan Kawasan dengan keahlian seramai hampir 13,159 nelayan di seluruh Sabah.

“LKIM sentiasa terbuka hati untuk menerima seramai mungkin nelayan ahli persatuan supaya dapat menerima pelbagai bantuan yang disalurkan,” kata Yusoff.