PKR Sabah hormati keputusan UPKO keluar Pakatan Harapan – Mustapha

PKR Sabah hormati keputusan UPKO keluar Pakatan Harapan – Mustapha

KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menghormati keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sepanjang penyertaan UPKO dalam PH sejak 2019, kerjasama erat terjalin antara kepimpinan dan jentera kedua-dua parti dalam memperjuangkan agenda reformasi, tadbir urus baik serta pembangunan inklusif di Sabah.

“PKR Sabah menzahirkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, serta seluruh kepimpinan dan ahli UPKO atas sumbangan, komitmen dan kebersamaan mereka dalam tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, perjuangan untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah, pengukuhan autonomi serta pembangunan sosioekonomi negeri itu seharusnya menjadi asas penyatuan, bukannya punca perpecahan.

“PKR Sabah menyeru semua parti, termasuk UPKO, terus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan dan meneruskan kerjasama dalam semangat perpaduan serta reformasi nasional,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan demi kemajuan Sabah harus diteruskan dalam semangat ‘Harapan Urang Sabah – Sabah Maju Bersama Madani’.