KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud mengalu-alukan peningkatan diperuntukkan sebanyak RM6.5B berbanding RM5.16B kepada Sabah Belanjawan 2022 dilihat selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Katanya, Belanjawan 2023 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus secara keseluruhannya.
“Kita menekankan agar kerajaan negeri menerusi Jabatan serta Agensi berkaitan perlu memastikan peruntukan ini digunakan secepat mungkin secara optima sekali gus mempercepatkan perlaksanaan projek di negeri ini.
“Punca kesesakan jalan di kawasan Sepanggar serta banjir kilat yang sering melanda merupakan antara kesan kelewatan perlaksanaan projek-projek berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mustapha merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, beliau berharap agar peruntukan lebih RM2.5B kepada prasarana awam juga akan dapat mengatasi masalah bekalan air dan elektrik di kawasan Sepanggar.
“Ini termasuklah pembaikan kemudahan infrastruktur sekolah daif serta klinik yang menjadi isu kritikal di kawasan Parlimen Sepanggar khasnya dan Sabah amnya.
“Saya yakin penyerahan kuasa melulus perolehan projek persekutuan sehingga RM50 juta akan membantu mempercepatkan proses perlaksanaan,” katanya.
Mustapha berkata, beliau juga memuji Bajet Malaysia Madani berteraskan ekonomi rakyat selaras dengan aspirasi diperlukan di peringkat akar umbi.
“Semoga insentif yang disediakan ini akan membantu membasmi kemiskinan tegar terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.