Persatuan etnik perlu terus bangun, martabat budaya etnik – Hajiji

TUARAN: Semua persatuan etnik digesa supaya memartabatkan budaya etnik mereka agar tidak terus dilupakan sekali gus berusaha terkenal di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, budaya merupakan aspek penting untuk menjadi identiti sesuatu etnik agar dimartabatkan untuk kepentingan semua.

Katanya, usaha perlu dilakukan untuk mengetengahkan budaya dan tradisi yang diwarisi kepada rakyat secara keseluruhannya terutama generasi muda.

“Era globalisasi dan kemodenan masa kini dikhuatiri akan menyebabkan anak-anak muda kita tidak mengenali budaya bangsa masing-masing.

“Kita perlu memastikan tradisi dan budaya yang diwarisi tidak pupus malah harus dipastikan terus kekal hingga ke generasi akan datang,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, festival mampu menghidupkan semula dengan melestarikan kekayaan kesenian Dusun khususnya di daerah Tuaran dan Tamparuli.

Menurutnya, tema festival, “Pemerkasaan Tradisi ke Arah Keberterusan dan Kelestarian Budaya Dusun” di Sabah jelas menunjukkan betapa pentingnya untuk memastikan tradisi dan budaya etnik Dusun itu perlu dikekalkan serta diwarisi hingga ke generasi akan datang.

Katanya, Kerajaan Negeri menyokong dan menyambut baik penganjuran festival seperti itu kerana ia sesuai dengan kepelbagaiaan budaya di Sabah yang memang unik dan menarik.

“Hasrat untuk menghidupkan semula dan melestarikan muzik tradisi Mojumbak dan tarian tradisi ini menunjukkan satu perkembangan yang positif, menerusi penganjuran festival ini.

“Kekayaan budaya inilah merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri melalui industri pelancongan, industri seni kreatif, termasuklah industri kecil dan sederhana, berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.