Perpaduan dan kestabilan politik penting untuk majukan negeri – Hajiji

KOTA BELUD : Perpaduan dan kestabilan politik perlu terus dikekalkan kerana ia mampu membawa lebih kemajuan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, banyak kejayaan dan inisiatif dibuat kerajaan hari ini yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai di majlis tersebut.

Katanya, tiada siapa boleh menafikan sejak mengambil alih kerajaan, banyak kejayaan dicapai daripada pelbagai inisiatif dilaksanakan.

“Daripada aspek ekonomi hinggalah kepada kesejahteraan rakyat dan pendidikan, telah banyak kita buat.

“Malah, dasar mesra pelabur telah mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan. Sebab itu pentingnya perpaduan dan saya melihat bukan hanya masyarakat Bajausama atau yang beragama Islam saja hadir pada majlis ini,” katanya di sini hari

Hajiji berkata, kejayaan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu perlu terus diuar-uarkan agar lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi tahu usaha yang dibuat kerajaan.

“Saya mahu cakap ini (kejayaan hasil inisiatif kerajaan) kerana mungkin ada yang tidak maklum dengan usaha-usaha kita.

“Ini kerana pembangkang sangat suka memfitnah dan cakap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal,” jelas Hajiji.

Pada majlis Ketua Menteri turut melakukan gimik pelancaran Geran Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) Mukim Rosok dan Mukim Keguraan serta menyerahkan geran tanah kepada 55 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.

Sebanyak 16 kampung yang terlibat dalam menerima geran ini dengan jumlah keseluruhan kawasan tanah sebanyak 1,559.8165 hektar bersamaan 3854.39 ekar.