KOTA KINABALU: Kempen sepanjang perlawanan pra-musim skuad Sang Badak disifatkan begitu ‘lunak’ dan dijangka membuahkan hasil menjelang pembukaan tirai Liga Super pada 12 Mei hadapan.
Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, pihaknya amat optimis momentum aksi memberangsangkan daripada pasukan bola sepak negeri yang telah berentap dalam beberapa edisi perlawanan persahabatan dan terbaru, kerancakan merebut piala SMJ Cup 2024 di Stadium Likas.
Menurutnya, formula mengadakan persiapan perlawanan menguji kecerdasan di tempat sendiri nampaknya berkesan terhadap pasukan dan beliau turut menyifatkan ia akan membawa impak positif terharap kakitangan serta petugas Sabah FC.
“Sebagaimana dimaklumkan oleh jurulatih sebelum ini, perlawanan-perlawanan persahabatan sama ada tertutup dan umum nampaknya bertujuan bagi mencari keserasian di antara kesebelasan utama dan juga pemain-pemain 23 tahun yang diserap masuk musim ini.
“Berbanding mengadakan atau terlibat dengan perlawanan-perlawanan persahabatan di luar negeri, kita hanya dapat menyediakan pasukan bola sepak sahaja terutamanya bagi match fitness akan tetapi dari sudut penyediaan kakitangan yang lain kita abaikan dan dalam masa yang sama, kita juga dapat menjimatkan kos.
“Sehubungan itu, momentum sedia ada dengan perlawanan dan latihan yang hanya berkampung di halaman sendiri sebenarnya amat positif kerana seperti SMJ Cup 2024 ini, pasukan lawan yang hadir juga kompetitif dan bukan calang-calang.
“Jadi, sebagaimana dimaklumkan, selain mendapat perlawanan match fitness bersama pasukan kompetitif, kita juga dapat mempersiapkan krew-krew atau kakitangan kita untuk menguruskan liga di mana Sabah FC akan menjadi tuan rumah kepada pasukan Penang FC pada 12 Mei hadapan…jadi objektif kempen pra musim kita boleh dikatakan tercapai, ” katanya.
Untuk rekod, pasukan Sabah akan menentang Kuching City FC dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan SMJ 2024 esok di Stadium Likas sebelum dua pasukan teratas bakal berentap merebut piala itu pada 5 Mei depan.
mengenai sambutan penyokong Sang Badak, Mohd Joh berkata, pihak pengurusan sedang berura-ura mengadakan satu insiatif dan pelan jangka panjang dikenali sebagai ‘Ekuiti Peminat’.
Tambahnya, pengenalan kepada konsep itu memberi bayangan kepada peminat juga berhak menentukan atau membuat sebarang keputusan bersama terhadap pembangunan kelab bola sepak Sabah.
“Ini perkara baru yang saya katakan, contoh Ekuiti ini apabila mereka memberi dorongan, saya akan isukan kepada pemilik kelab kerana pengorbanan mereka, malah menguntungkan kita sehingga kita mampu mengatasi masalah hutang yang sedang kita hadapi dan pada masa sama memberi pulangan yang banyak kepada Sabah FC.
“Saya kira tidak salah kepada mereka terlibat untuk membuat keputusan, bayangkan negeri Sabah mempunyai lebih 3.6 juta penduduk, banyak produk luar masuk ke sini jadi dengan munculnya produk kita, yang boleh memberi revenue kepada pasukan tetapi sebesar mana suara mereka untuk membuat keputusan, itu kita bincangkan kemudian.
“Tetapi buat pertama kalinya, Ekuiti Peminat ini memberi hak kepada peminat untuk terlibat membuat keputusan dalam kelab, itu akan formalise bagaimana perkara itu akan memberi kuasa lebih kepada peminat untuk terlibat sama,” katanya.