Perbincangan tuntutan kumpulan Sulu di Parlimen boleh jejas kepentingan negara

KUALA LUMPUR: Perbincangan berhubung tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah di Dewan Rakyat boleh menjejaskan kepentingan Malaysia dalam prosiding litigasi kes berkenaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata perbincangan itu berkemungkinan akan mendedahkan strategi negara dalam hal berkaitan, sekali gus memberi manfaat kepada pihak lain.

“Mahukah kita berbincang (di Dewan Rakyat) dan sedang perbincangan itu berjalan, tidak tahulah apa yang akan dikatakan, maka terserlah strategi kerajaan untuk berbuat itu dan ini, dan (mengakibatkan) akan ada kritikan terhadap tindakan kerajaan yang akan dibuat itu atau pun yang telah dibuat. Maka pihak yang satu lagi boleh membacanya.

“Apakah itu tidak akan merosakkan kepentingan kerajaan di dalam prosiding litigasi tersebut? Mahukah kita tunjuk strategi kita kepada dunia?,” katanya semasa memberi penjelasan terhadap pertanyaan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini, yang mempersoal keputusan Azhar menolak usul supaya tuntutan kumpulan Sulu itu dibahas di Parlimen atas alasan subjudis pada Isnin.

Menurut Azhar, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (2), tidak boleh disebutkan apa-apa perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah sekiranya pada timbangan Pengerusi harus merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara itu.

– BERNAMA