KOTA KINABALU: Music Rights Sabah Berhad (MRS) menjadi badan pelesenan muzik diiktiraf kerajaan memberi pembelaan kepada hak penggiat seni tempatan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengiat seni di Sabah digalak agar terus berkarya sama ada dalam bidang muzik mahu pun sebagai penyanyi.
“Penubuhan MRS pada Januari lalu, tepat pada masanya untuk memberi pembelaan sewajarnya kepada artis tempatan Sabah. MRS secara rasmi menjadi badan pelesenan muzik yang diiktiraf kerajaan bagi menjaga kebajikan artis tempatan dalam industri muzik di negeri ini.
“Badan ini diiktiraf untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik, pembuat video muzik dan syarikat rakaman tempatan membabitkan etnik di negeri ini.
“Tiada istilah lambat dalam hal ini (mengiktiraf hak-hak anak seni di Sabah baik penyanyi atau pun pemuzik) kerana kita sentiasa bergerak ke hadapan dan mencari kaedah terbaik untuk melindungi mereka,” katanya.
Beliau berkata dekikian ketika merasmikan Program Riuh Bah! Bersama Hotlink di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini semalam.
Hajiji berkata program selama tiga hari itu pasti menjadi medan untuk merancakkan lagi industri kreatif di Sabah sekali gus memberikan manfaat kepada komuniti setempat serta rakyat secara keseluruhannya.
Sehubungan itu beliau menyarankan agar persatuan dari pelbagai etnik di Sabah terus memperkasa seni budaya, adat resam dan bahasa masing-masing agar tidak hanyut dengan kepesatan arus globalisasi.
“Saya percaya masih banyak lagi budaya dari segi tarian dan muzik pelbagai etnik di negeri ini yang masih belum diterokai untuk diketengahkan,” katanya.
Ketua Menteri juga berharap program `RIUH BAH! Bersama Hotlink’ akan membantu mempromosikan seni kreatif tempatan yang ada di Sabah untuk diangkat hingga ke peringkat antarabangsa.