Penjawat awam perlu main peranan – Yakub

KOTA KINABALU: Penjawat awam perlu memainkan peranan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan selamat.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata semua penjawat awam seharusnya menguasai ilmu serta kemahiran berkaitan teknologi digital, di samping sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN).

“Saya menyeru semua penjawat awam untuk bersama-sama secara berterusan dengan JPKN sebagai pembangun utama aplikasi Kerajaan Negeri dalam ekosistem siber yang selamat.

“Saya juga mengingatkan penjawat awam tentang keperluan menamakan dan memastikan sentiasa mengemaskini senarai Pegawai Keselamatan ICT atau ICTSO di organisasi masing-masing.

“Seterusnya, memaklumkan kepada pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan juga JPKN seperti mana yang diperlukan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara.

“Perkara ini membolehkan pihak NACSA menghubungi organisasi mengenai sebarang perkembangan atau isu keselamatan siber,” katanya.