KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan penjawat awam sebagai tulang belakang kejayaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
Ini sekali gus telah memacu kemajuan negeri sepanjang lima tahun pentadbirannya.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan dasar dan projek di bawah Hala Tuju SMJ 1.0 tidak akan tercapai tanpa komitmen tinggi dan sokongan padu penjawat awam negeri dan Persekutuan.
“Meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan politik, pandemik COVID-19, serta tekanan ekonomi global.
“Selama lima tahun saya menakhoda Kerajaan Negeri dengan dukungan penjawat awam, ia merupakan pengalaman luar biasa tetapi amat bermakna.
“Kalau dahulu saya hanya mengetuai sebuah kementerian, kini saya mengemudi sebuah kerajaan — satu tanggungjawab besar yang akan saya kenang selamanya,” katanya di sini, hari ini.
Hajiji berkata, asas kukuh yang dibina melalui Hala Tuju SMJ 1.0 akan diteruskan dan diperkasa lagi menerusi pelan SMJ 2.0, yang menumpukan kepada kesinambungan pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menegaskan penjawat awam perlu terus memperkukuh kecekapan, integriti dan kepakaran bagi memastikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan dan efisien dalam menghadapi cabaran abad ke-21.
Dalam usaha menghargai sumbangan penjawat awam, kerajaan negeri memperkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember 2024.
Ini termasuk melibatkan kenaikan gaji antara 7 hingga 15 peratus secara berfasa sehingga 2026 dengan unjuran kos RM150 juta.
Selain itu, penjawat awam negeri turut menerima bantuan khas keseluruhan minimum RM4,000 tahun ini, termasuk sebulan gaji atau minimum RM3,000 pada Januari 2025.
“Ini meliputi bantuan khas Aidilfitri dan Pesta Kaamatan masing-masing sebanyak RM500 — jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa mereka.
“Kerajaan juga memperkenalkan Insentif Percutian (i-Cuti) untuk pegawai yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dan sedang melaksanakan penaiktarafan 5,537 jawatan sementara serta kontrak kepada jawatan tetap secara berfasa,” katanya.
Hajiji turut memberi bayangan kerajaan negeri mungkin menyalurkan insentif khas tambahan dalam Bajet Negeri 2026, tertakluk kepada kemampuan kewangan negeri.
