Penjaja Pasar Karamunting akan dipindahkan di Tanah Merah pada 1 Mac

SANDAKAN: Penjaja di Pasar Karamunting akan dipindahkan ke pasar lama di Tanah Merah bermula Mac 1 depan sementara menunggu kerja membaikpulih di pasar itu selesai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, beliau telah berbincang mengenai keperluan untuk menempatkan penjaja di tempat lain buat sementara waktu dan pemilik tanah tapak pasar lama telah pun bersetuju untuk meminjamkan tapak tanah tersebut.

Penjaja Pasar Karamunting akan dipindahkan di Tanah Merah pada 1 Mac.

“Kelmarin, saya telah berjumpa dengan lebih kurang 90 penjaja di Pasar Karamunting semasa saya menyampaikan limau mandarin sempena dengan Tahun Baru Cina. Mereka telah dimaklumkan tentang perkara tersebut dan mereka juga bersetuju untuk berpindah ke tapak pasar lama.

“Saya telah memaklumkan kepada mereka tentang keperluan mendesak untuk membaiki beberapa infrastruktur dan kemudahan di Pasar Karamunting. Pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan membantu penjaja untuk proses pemindahan dan juga akan menyediakan meja, kerusi dan peralatan di tapak pasar yang lama,” katanya.

Mengenai penutupan Pasar Karamunting pada 1 Mac, beberapa penjaja telah memohon untuk melanjutkan tarikh tersebut kepada 10 Mac bagi memudahkan operasi mereka sebelum Tahun Baru Cina dan juga bulan Ramadan yang bakal tiba.

George berkata beliau akan berbincang dengan pihak MPS mengenai perkara itu dan akan cuba mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua penjaja.

“Pihak saya bersama pasukan Task Force Team ADUN Karamunting akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah penduduk Karamunting termasuk para penjaja yang terlibat agar pendapatan mereka tidak terjejas akibat masalah ini,” tambah George.