KOTA KINABALU : Seorang pengusaha syarikat pelancongan membuat laporan polis berkaitan pencemaran sisa toksik jenis ‘Sodium Cyandie’ dari kegiatan perlombongan emas haram di Bukit Mantri Tawau.
Pengusaha Pelancongan Kelana Bensa berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera untuk menutup operasi kegiatan operasi perlombongan emas haram itu.
Katanya, setakat ini kilang terbabit dipercayai masih beroperasi tanpa kelulusan manakala kilang emas ini boleh menjalankan kegiatannya semula selepas memenuhi sepenuhnya segala keperluan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
“Sebagai contoh, saya merupakan pengusaha sektor pelancongan di kawasan ini sangat terjejas akibat perlombongan haram ini. Kami melihat sendiri air mengalir di perairan sungai ini bertukar warna, pelancong enggan datang berkunjung ke sini lagi.
“Pendapatan sektor pelancongan di kawasan ini terjejas…Siapa yang akan menanggung ganti rugi sekiranya kegiatan ini masih dibenarkan beroperasi tanpa kelulusan EIA,“ katanya kepada Sabah News Today.
Kelana berkata, beliau dimaklumkan bekas pekerja bernama Muhammad Alfian bahawa di kawasan perlombongan tersebut memang sangat membahayakan berpunca dari sisa toksik jenis Sodium Cyanide dikenalpasti sangat berbahaya kepada pekerja serta penduduk kampung di sekitarnya.
“Sehingga kini Jabatan Alam Sekitar juga sudah mengeluarkan surat dan kenyataan perlombongan ini perlu mengemukakan pelan Erosion and Sediment Control Plan (ESCP) yang dikemaskini perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong dan Pelan Skim Operasi Melombong dari pihak perlombongan didapati tiada permohonan kepada Jabatan Mineral dan Geosains. Apa yang kami mahu selaku penduduk kampung adalah kegiatan perlombongan itu perlu ditutup sementara bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci,” Jelas Kelana.
Menurutnya lagi, kegiatan perlombongan haram ini sangat membahayakan penduduk kampung jika tidak mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang dibenarkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.