Pengeluaran secara besar-besaran akan jejas pasaran modal negara – KWSP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengingatkan sebarang kemelesetan kepercayaan terhadapnya berkemungkinan boleh menyebabkan pengeluaran simpanan secara besar-besaran yang memberi impak negatif terhadap pasaran modal negara.

Ketika menyuarakan kebimbangan itu, dana persaraan tersebut berkata ini berikutan sehingga kini terdapat lebih RM270 bilion simpanan yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang mencapai usia melebihi 55 atau 60 tahun serta mereka yang mempunyai simpanan lebih RM1 juta.

“Adalah dibimbangi bahawa kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak dan memberi impak negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP merupakan tonggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara.

“Skala dan kesan pandemik COVID-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini telah menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksimum dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk ketika ahli berdepan ketidakcukupan wang simpanan persaraan dan ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KWSP menjelaskan, skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020 dan disusuli dengan i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

-BERNAMA