Penganjuran SSF inisiatif kerajaan rai penggiat industri kreatif di Sabah

KOTA KINABALU : Sabah Screen Fest (SSF) 2023 telah melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), baru-baru ini.

Unit Media SSF dalam satu kenyataan berkata SSF adalah platform festival filem diperingkat negeri yang berprestij untuk meraikan para penggiat industri kreatif dan inovatif tempatan melibatkan pelajar sekolah, orang awam bukan sahaja di Sabah tetapi juga terbuka kepada penyertaan dari Sarawak dan Semenanjung.

Menurut kenyataan itu, SSF adalah merapatkan jurang antara teknologi dan seni, melahirkan generasi kreatif dan celik teknologi maklumat selaras dengan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

“SSF adalah antara inisiatif kerajaan untuk memberikan peluang dan ruang kepada mereka yang terlibat dalam industri kreatif dan inovatif tempatan mempamerkan serta ekspresi diri menghasilkan karya yang bermutu.

“Penyertaan Sabah Screen Fest pada tahun ini melibatkan sebanyak 188 permohonan iaitu 86 bagi kategori terbuka, 102 bagi kategori sekolah rendah dan menengah yang bertemakan ‘Digital Madani’,” tambah kenyataan itu.

Tema ‘Digital Madani’ dipilih bagi memupuk masyarakat digital yang bermanfaat dan bertanggungjawab berasaskan kepada enam teras iaitu (M)kemampanan, (A)kesejahteraan, (D)daya cipta, (A) hormat, (N)keyakinan dan (I)Ihsan.

Majlis perasmian penutupan SSF23 yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Harun Durabi.

Berucap pada majlis itu, Harun berkata SSF dapat memberi pendedahan dalam bidang kemahiran multimedia dan digital untuk menyerlahkan lagi peranan penggunaan teknologi seperti penggunaan kamera digital yang mampu membuat filem lebih dramatik dan kelihatan lebih nyata.

Katanya penggunaan aplikasi komputer grafik seperti ‘Green Screen’ dan ‘Computer Generated Imagery (CGI) yang membantu memberikan kualiti grafik yang sangat tinggi dengan efek yang lebih terkawal.

Beliau berkata Kementerian berharap dapat mencetuskan rasa ingin tahu dan menggalakkan pencarian ilmu dalam bidang Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik (STEM) 7 untuk diterapkan dalam hasil karya dengan kreativiti masing-masing melalui penghasilan Filem Pendek, Dokumentari, Animasi dan Iklan.