Pengalaman di Komuniti Usahawan Luar Bandar

oleh Dr. Jakaria Dasan

Pembelajaran berasaskan pengalaman merupakan kaedah pengajaran progresif yang berkesan dalam memberi kefahaman yang jelas kepada pelajar memahami suatu topik yang diajar di luar bilik kuliah.

Ianya dilaksanakan bila mana pelajar dibawa ke lapangan untuk menjana pemahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu topik kuliah dengan menangani isu berkaitan kursus yang diketengahkan.

Jakaria Dasan

Interaksi juga berlaku antara pelajar dan pemegang taruh atau komuniti terlibat.

Dalam masa sama, pensyarah atau pembimbing membuat pemantauan dan terlibat sama memantau sesi-sesi di lapangan bagi memastikan objektif pembelajaran berasaskan pengalaman ini dapat dicapai.

Pengalaman di Komuniti Usahawan Luar Bandar.

Menerusi Kursus Pengurusan Sumber Manusia yang ditawarkan oleh Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, pelajar mengambil Kursus ini sentiasa didedahkan dengan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman di komuniti-komuniti yang memenuhi ciri komuniti yang ditetapkan dengan topik kursus.

Menerusi topik berkaitan iaitu “Mengurus Sumber Manusia di Firma Kecil dan Keusahawanan”, pensyarah kursus iaitu Dr. Jakaria Dasan, telah menugaskan para pelajar untuk mendekati komuniti usahawan yang menjalankan aktiviti-aktiviti keusahawanan dan meneliti isu-isu berhubung sumber manusia dan berkaitan yang boleh ditambah baik dan kemudiannya dikongsikan kembali dengan komuniti.

Pengalaman di Komuniti Usahawan Luar Bandar.

Satu hal yang menarik menerusi aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman ini adalah aktiviti sedemikian dapat menangani dua isu dengan satu tindakan sepertimana maksud dalam pepatah Inggeris, “killing two birds with one stone.”

Dengan kata lain, pepatah ini bermaksud seseorang yang melakukan satu tindakan itu sebenarnya boleh melengkapkan atau mencapai dua objektif utama yang sering berlegar mengenai isu atau hal yang dijadikan sasaran untuk diselesaikan.

Pengalaman di Komuniti Usahawan Luar Bandar.

Justeru, pelajar bukan sahaja lebih memahami topik yang diberikan, malah dapatan dari pengalaman mereka juga dapat membantu meningkatkan sosio-ekonomi komuniti terlibat.

Lebih menarik lagi ialah apabila pelajar MBA ini, sebahagian besarnya adalah dalam kalangan profesional sama ada yang sedang bertugas di jabatan kerajaan mahu pun swasta.

Malah ada juga dalam kalangan mereka merupakan usahawan-usahawan berjaya.

Pengalaman di Komuniti Usahawan Luar Bandar.

Sewaktu bersama komuniti mereka berkongsi sama kepakaran dan maklumat yang mereka miliki dengan ahli-ahli komuniti.

Hal inilah yang berlaku semasa Kursus Pengurusan Sumber Manusia yang dipimpin oleh Dr Jakaria Dasan bersama-sama dengan 38 orang pelajarnya bertandang ke Kampung Sayap Kota Belud pada 27 dan 28 April 2024.

Pengalaman di Komuniti Usahawan Luar Bandar.

Tugasan pelajar adalah untuk meneliti daya saing sumber manusia yang menjalankan operasi aktiviti pendakian berasaskan alam semulajadi yang kian popular iaitu EduTourism Aura Montoria, Kampung Sayap, Kota Belud, dan penghasilan pelbagai produk komuniti kampung Sayap.

Selain fokus menyelesaikan tugasan yang diberikan pensyarah, pelajar telah berjaya melakukan aktiviti bersama masyarakat melibatkan Ketua Kampung, Pengerusi JPKK, Pengerusi KRT, Pemimpin PIBG SK Sayap, dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Ini termasuk penduduk kampung Sayap dalam program yang turut menyaksikan sumbangan bakul makanan diedarkan kepada balu-balu di kampung ini pada malam kemuncak aktiviti.

Hari pertama menyaksikan beberapa aktivitibersama masyarakat kampung berjalan dengan mesra dan penuh semangat kekeluargaan.

Aktiviti-aktiviti tersebut ialah pembuatan kuih tradisional, pembuatan hasil kraf berasaskan manik, pengurusan sulap sebagai muzium mini penduduk kampung, pengurusan sekolah adat, pengurusan Homestay dan pelbagai lagi.

Pengalaman di Komuniti Usahawan Luar Bandar.

Manakala, pada hari kedua telah diadakan aktiviti mendaki Edu-Tourism Aura Montoria dengan trek sejauh tujuh kilometer.

Di sepanjang laluan, para pelajar mencanai idea bagi mempertingkatkan lagi daya tarikan dan informasi berguna yang boleh diwujudkan bagi memberi kelainan dan kepuasan kepada pengunjung yang melakukan aktiviti rekreasi mendaki di sini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, pada Majlis Amanat Naib Canselor awal tahun ini menggariskan agar usaha membawa UMS ke komuniti dipandang sebagai satu tanggungjawab sosial yang menuntut kreativiti setiap ahli akademiknya.

Dengan slogan “Leading towards Innovative Societies”, Profesor Datuk Dr Kasim berharap agar lebih banyak makmal hidupan UMS (UMS Living-Lab) diwujudkan di kawasan luar bandar Sabah.

Hal ini boleh dimulakan dengan kreativiti ahli akademik rentas bidang di pelbagai komuniti luar bandar di Sabah agar keberadaan UMS di Sabah dapat dirasai sepenuhnya.

Untuk rekod, Kg. Sayap, Kota Belud telah dikenalpasti sebagai salah satu daripada Makmal Hidupan UMS yang mengkhusus kepada Pelancongan Berasaskan Pendidikan (Edu-Tourism Based).

Saban tahun, pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembelajaran melibatkan kakitangan akademik dan pelajar dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan dilaksanakan di Komuniti yang terletak bersempadan dengan Sub-Stesen Sayap, Taman Negara Kinabalu. 

Biodata Penulis:

Dr. Jakaria Dasan mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan sumber manusia dan merupakan pensyarah Program Keusahawanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakauanan(FPEP).

Beliau juga merupakan tenaga pengajar Kursus Pengurusan Sumber Manusia program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang ditawarkan oleh UMS menerusi FPEP.

Beliau terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti keusahawanan di komuniti dan merupakan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Sabah (G3PNS).