Pengagihan 90 tangki air kepada penduduk Karamunting

SANDAKAN : Sebanyak 90 tangki air telah diagihkan kepada penduduk kampung sekitar DUN Karamunting, baru-baru ini.

Wakil Rakyatnya, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, 50 tangki diagihkan kepada penduduk di Jalan Cecily pada Selasa lalu, manakala 40 tangki lagi untuk penduduk Kampung Air telah diserahkan pada hujung bulan lepas.

Menurutnya, tangki air itu merupakan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Sabah sebagai tanda penghargaan di atas sokongan penduduk setempat selama ini.

“Kerajaan Negeri Sabah prihatin dengan keperluan penduduk setempat. Pemberian tangki air ini supaya ia boleh digunakan oleh penduduk Karamunting untuk menyimpan air bagi kegunaan semasa kecemasan,” katanya.

Sesi pengagihan tangki air telah dilakukan oleh Task Force Team ADUN Karamunting.

Hiew berterima kasih di atas bantuan Kerajaan Negeri yang telah menyumbangkan tangki air kepada penduduk pelbagai kaum di kawasan Karamunting yang telah mendaftar untuk menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, beliau dan pasukannya akan terus berkhidmat dan membantu penduduk Karamunting yang memerlukan.

Katanya, setakat ini beliau telahpun menambah baik infrastruktur di kawasan itu secara berperingkat termasuk memasang lampu solar, menubuhkan pasukan menebang pokok dan membaiki paip air yang bocor.

“Bagi pihak penduduk Karamunting, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri atas pemberian ini.

“Saya berharap penduduk di Karamunting akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri, agar saya sebagai wakil rakyat di Karamunting boleh terus memberikan perkhidmatan dan membantu rakyat di sini ke arah menjadikan Karamunting yang lebih maju dan lebih sejahtera,” tambahnya.