Penduduk Pulau Jambongan masih berharap bekalan elektrik disalurkan secara efisien

Laporan khas Siri 1
Oleh Noorasvilla Muhamaa

BELURAN : Bakal memasuki tahun baharu tidak lama lagi, penduduk Pulau Jambongan dekat sini menyimpan harapan besar agar perkampungan mereka akan “bersinar” dengan bekalan elektrik yang efisien.

Sejak sekian lama, kira-kira 1,900 penduduk pulau yang mempunyai lima buah kampung itu masih bergantung sepenuhnya dengan mesin generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Tiang elektrik sudah siap dipasang tetapi tiada sumber elektrik. Kredit gambar : Mohd Junit Othman.

Lebih kesal, empat daripada lima kampung itu sebenarnya pernah mendapat Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) untuk pemasangan Sistem Hibrid Solar pada tahun 2017, bagaimanapun projek itu didakwa terbengkalai.

Norazam Hishamudin, 27, berkata penduduk pulau seakan sebati menjalani kehidupan tanpa bekalan elektrik, namun jauh di sudut hati mereka masih berharap isu kemudahan asas itu dapat ditangani segera.

Pemasangan panel solar terbengkalai menyebabkan penduduk masih belum menerima bekalan elektrik. Kredit gambar : Mohd Junit Othman

“Kalau anak kita di luar sana menangis kepanasan, kita hidupkan pendingin hawa untuk sejukkan. Tetapi di sini kita guna kertas untuk kipas mereka. Kalau di luar sana tiada elektrik sejam dua, kita mengamuk cakap itu ini malah ada yang tunjuk kemarahan di media sosial.

“Tetapi, kita di sini sudah berpuluh tahun tidak pernah menikmati bekalan elektrik yang sebenar, meskipun hanya sekali,” luahnya yang turut menggunakan mesin generator sejak berusia 12 tahun lagi.

Tangki hasil wakaf untuk kegunaan penduduk Pulau Jambongan. Kredit gambar : Norazam Hishamudin

Bekerja sebagai guru sekolah rendah di pulau itu, beliau membelanjakan sehingga RM750 sebulan semata-mata untuk membeli minyak petrol bagi kegunaan mesin generator, itu pun hanya untuk penggunaan selama 12 jam bermula dari pukul 6 petang hingga 6 pagi esoknya.

Katanya, dengan penggunaan 12 jam sehari, generator kebiasaannya akan bertahan maksimum dua tahun dan selepas itu beliau perlu mengeluarkan kos antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk membeli mesin generator baharu.

“Tetapi tidak semua penduduk mampu menghidupkan generator sepanjang malam. Demi berjimat, kebanyakan penduduk akan mematikan mesin ini pukul 9 atau 10 malam dan bergelaplah mereka sehingga ke esok pagi.

Penduduk Pulau Jambongan bergantung sepenuhnya dengan tadahan air hujan. Kredit gambar : Norazam Hishamudin

“Pergerakan memang amat terhad pada waktu malam tanpa bekalan elektrik. Mahu tidak mahu, anak-anak yang bersekolah perlu menyiapkan kerja rumah dan belajar sebelum matahari terbenam.

“Kalau kerja sekolah belum siap, mereka akan belajar bertemankan lampu lilin, lampu minyak tanah ataupun lampu yang boleh dicas semula (rechargeable lamp),” jelasnya.

Mengenai Projek BELB, Norazam berkata pelaksanaannya bermula pada tahun 2017 lepas diingatkan boleh memberi sinar kepada penduduk, namun mereka masih berdepan isu yang sama selepas projek itu terbengkalai begitu sahaja.

Penduduk Pulau Jambongan masih menggunakan mesin generator untuk mendapatkan bekalan elektrik. Kredit gambar : Norazam Hishamudin

Empat kampung di pulau itu yang menerima Projek BELB adalah Kampung Hujung, Kampung Bahanan, Kampung Malalin dan Kampung Limau-Limau.

Projek oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tersebut sepatunya dijadualkan siap pada penghujung 2022, bagaimanapun sehingga kini ia terhenti di tengah jalan.

Empat kampung terlibat mempunyai tapak solar masing-masing, bagaimanapun semuanya masih tidak berfungsi walaupun ada di antaranya sudah mencapai 80 peratus siap termasuk lengkap dengan panel, bateri, generator besar, inverter dan sebagainya.

Penduduk mendakwa sebelum ini pekerja pembinaan dan pengawal keselamatan telah ditempatkan di tapak pembinaan di Kampung Hujung, tetapi mereka dipercayai sudah menghilangkan diri tanpa diketahui puncanya.

“Begitu juga di Kampung Malalin yang mana sistem elektrik rumah sudah siap dipasang. Tapak solar, enjin dan papan solar juga sudah pasang, cuma belum disambung ke rumah. Namun, kerja-kerja terhenti di tengah jalan dan dibiar begitu sahaja.

“Tiada yang ambil berat. Penduduk hanya dapat melihat sahaja struktur panel solar ini dibangunkan bertahun-tahun tetapi disebaliknya kami masih belum dapat menikmati bekalan elektrik.

“Saya berharap projek ini dapat diteruskan. Ini adalah langkah alternatif yang boleh dilakukan sekiranya pihak kerajaan belum mampu memberikan penduduk Jambongan bekalan elektrik yang sebenar,” jelas Norazam.

Pulau Jambongan, pulau kedua terbesar di Sabah mempunyai 90 peratus penduduk yang bekerja sebagai nelayan manakala 10 peratus lagi bekerja dalam lain-lain bidang.

Rata-rata penduduk tergolong dalam kategori B40 dengan pendapatan bulanan RM1,000 ke bawah.

Selain isu bekalan elektrik, penduduk pulau juga berdepan dengan ketiadaan bekalan air bersih yang mana ketika ini mereka masih bergantung sepenuhnya dengan tadahan air hujan.

Menurut Norazam, sehingga ke hari ini tiada usaha daripada mana-mana pihak untuk membekalkan air bersih kepada rakyat Pulau Jambongan.

“Orang kampung 100 peratus mengharapkn air hujan. Caranya dengan menadah air hujan dalam tangki di rumah masing-masing. Tetapi disebabkan jumlah tangki yang terhad, tadahan air mungkin hanya akan bertahan antara satu hingga dua bulan. Keadaan lebih mencabar semasa musim kemarau,” jelasnya.

Sejak tahun 2020 hingga 2022, sebanyak 260 rumah di pulau itu secara berperingkat-peringkat telah menerima sebiji tangki menerusi Projek Wakaf 1 Rumah 1 Tangki daripada Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia (PIKDM).