Pendekatan DAP Terhadap Isu Rasuah: Seruan untuk Konsistensi dan Integriti

Oleh: Tandiko Dalusin, Aktivist Politik.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah lama dikenali kerana pendiriannya yang tegas menentang rasuah, terutamanya semasa menjadi parti pembangkang.

Pemimpin-pemimpin terkemuka seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng berada di barisan hadapan dalam memerangi amalan rasuah dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Sebagai contoh, pada tahun 2002, Lim Kit Siang menyeru supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat rasuah di Sabah, dengan menekankan kebimbangan terhadap tadbir urus negeri tersebut.

Begitu juga, pada tahun 2004, Lim Kit Siang mengkritik kerajaan BN dengan menyatakan bahawa ia “korup dan rosak sehingga ke akar umbi,” sambil menegaskan keperluan untuk ketelusan dan akauntabiliti.

Namun, perkembangan terkini menunjukkan perubahan ketara dalam pendekatan DAP terhadap tuduhan rasuah, terutamanya setelah parti itu memegang jawatan dalam kerajaan di peringkat Persekutuan dan Sabah.

Sebagai contoh, Ketua DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, telah menyatakan komitmen parti untuk terus menyokong kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun terdapat tuduhan rasuah terhadap beberapa pemimpin GRS.

Pendekatan ini kelihatan bertentangan dengan dasar toleransi sifar DAP terhadap rasuah sebelum ini.

Pendekatan terkini DAP yang mengutamakan proses perundangan dan tidak membuat penilaian segera.

Walaupun secara prinsipnya betul dari segi undang-undang, berbeza dengan pendekatan sebelumnya apabila pemimpin mereka menuntut pertanggungjawaban segera dan peletakan jawatan berikutan tuduhan rasuah, walaupun sebelum proses mahkamah dijalankan.

Perubahan ini menimbulkan persoalan tentang konsistensi prinsip DAP dan komitmennya untuk memerangi rasuah tanpa pilih kasih.

Adalah penting bagi DAP untuk merenungkan nilai-nilai asas parti dan harapan penyokongnya.

Parti ini mesti memastikan bahawa tindakan mereka selaras dengan retorik lama mereka terhadap rasuah, serta mengekalkan integriti dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Pendekatan yang konsisten dan tegas terhadap isu rasuah adalah penting untuk menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti awam.