KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan perlu mengambil pendekatan baharu dan serius dalam merancang pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, perkara perlu diberikan perhatian serta tindakan yang serius bukan sahaja kedua-dua negeri tersebut besar namun dari aspek pembangunan masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.
Menurutnya pelaksanaan tender terbuka dalam perancangan pembangunan di Sabah dan Sarawak yang menjadi amalan sebelum ini kini dilihat sudah tidak relevan kerana sesuatu projek memerlukan masa lama untuk dilaksanakan.
“Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan agar besar berbanding negeri-negeri lain..sudah tentu peruntukan untuk tujuan pembangunan tidak boleh disamakan. Kita telah melaluinya berpuluh-puluh tahun dan mungkin tender terbuka sudah tidak sesuai.
“Kerajaan Persekutuan kena melantik konsultan yang memakan masa tiga ke enam bulan, selepas dilantik, konsultan membuat reka bentuk pula mengambil selama setahun.
“Selepas itu tender terbuka selama satu tahun dan dalam tempoh tiga tahun setengah itu hanya baru jalan satu projek, jadi bagaimana kita boleh mewujudkan pembangunan yang seimbang antara Wilayah” katanya ketika berucap dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang DI-Pertuan Agong Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat,hari ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata sekiranya perkara tersebut sukar dilaksanakan, peruntukan sebanyak RM5 bilion setahun perlu diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menguruskan dan merancang pembangunan yang menjadi keutamaan untuk dilaksanakan
Menurut beliau saranan ini dibuat berikutan peruntukan yang diberikan setiap tahun tidak dapat digunakan sepenuhnya dan hanya dapat dilaksanakan sekitar 38 peratus setiap tahun.
“RM5 bilion itu sedikit sahaja terpakai dan dibawa ke hadapan lagi…akan datang umum lagi RM5 bilion. Padahal yang terpakai hanya RM1 bilion lebih, jadi sampai bila keadaan ini berlarutan,” tegasnya dan mengingatkan Kerajaan Persekutuan jangan mempermainkan perasaan penduduk di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri bersetuju meluluskan fasa satu Pakej Lebuh Pan Borneo 19 pakej untuk Sabah.
“Seharusnya keputusan ini telah lama diambil tindakan berbanding dengan negeri jiran Sarawak dimana Lebuh Raya Pan Borneo sudah hampir 85 peratus siap tetapi di Sabah fasa satu baru bermula dan inilah antara kekangan yang melambatkan proses pembangunan di Sabah” kata Bung Moktar.