BUKIT GARAM : Semua pemimpin masyarakat diingatkan agar kerap kali turun padang untuk memberi penerangan berkaitan program serta dasar kerajaan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, rakyat di kawasan luar bandar juga berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan aspek kebajikan mereka.
Katanya, pemimpin masyarakat melibatkan Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pemaju perlu peka kepada kepada isu semasa sekali gus menyalurkan maklumat agar tindakan segera dapat diambil.
“Pendekatan ini bukan sahaja menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib rakyat malah boleh menangkis tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan.
“Pembangkang dilihat ketika ini sering keluar masuk kampung untuk mempengaruhi rakyat di peringkat akar umbi supaya kepimpinan kerajaan harus diubah… walhal kita sekarang hidup dalam keadaan baik dan harmoni.
“Kita kena jaga negeri kita dengan baik. Jangan kita tersalah dengar cakap pihak pembangkang sehingga kita akhirnya sedar keadaan sekarang ini lebih baik berbanding di bawah kepimpinan pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pejabat ADUN serta Parlimen yang baharu di Pekan Baru, Bukit Garam di sini hari ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag berkata, pemimpin masyarakat juga perlu bijak mengadakan program bagi menyampaikan dasar kerajaan supaya rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
“Tugas serta tanggunjawab kita sebagai pemimpin masyarakat peringkat akar umbi bukan sekadar duduk di pejabat malah turun ke lapangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang apa juga isu rakyat baik dari segi kebajikan dan pembangunan,” katanya.
Sambil menucapkan berterima kasih kepada pemimpin masyarakat serta penjawat awam negeri dan Persekutuan, khususnya di kawasan itu, berikutan memudahkan kerjanya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.