KOTA KINABALU: Berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini, berhubung dengan pemberian dokumen pengenalan kepada warga Asing di Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti WARISAN, Azhar Matussin berkata pihaknya ingin melihat pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dahulunya lantang menentang pengeluaran kad pengenalan ketika Tan Seri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Dalam Negeri (KDN).
Katanya, selepas pengumuman malam tadi seolah-olah pemimpin GRS sebulat suara bersetuju berkaitan pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.
“Apa bezanya dulu dengan pengumuman yang dilakukan oleh Menteri KDN malam tadi. Sekiranya mereka bermatlamatkan berjuang untuk menuntut hak serta kepentingan rakyat Sabah mereka harus menentang habis-habisan.
“Kita ingin melihat kalangan pemimpin GRS kembali lantang menyuarakan bantahan mereka. Ini kerana Kad Pengenalan warga asing ini sangat tidak releven untuk diwujudkan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, pihaknya risau kewujudan pengeluaran kad pengenalan ini akan memberikan petanda tidak dalam baik khususnya memberikan hak serta keistimewaan kepada warga asing.
Meskipun melalui cadangan tersebut menyebut hanya mereka yang sudah lama berada di Sabah, akan tetapi dikhuatiri ia akan menyebabkan masalah yang lebih besar.
“Sekiranya tidak, maka ia akan mendorong ramai warga asing membanjiri Sabah pada masa akan datang,” katanya.
Azhar mencadangkan, pihak penguatkuasa imigresen segera memperkasakan penguatkuasaan Dan menghantar pulang pendatang tanpa izin (PTI) ke negara asal mereka.