KUNAK: Seorang pembonceng wanita maut selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan di Kilometer 10, Jalan Kunak-Tawau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Sabarudin Rahmat berkata, mangsa dikenalpasti warga Indonesia berumur 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, suami mangsa penunggang motosikal berumur 39-tahun warga Indonesia manakala anak lelakinya berusia 7 tahun, mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang.
“Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton X70 dipandu seorang lelaki, 54 tahun itu datang dari arah Tawau menuju ke Kunak.
“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan terbabit memotong sebuah kenderaan lain di hadapanya menyebabkan terlanggar motorsikal,” katanya.
Supt Sabarudin berkata, motosikal dinaiki mangsa yang berada dihadapan kenderaan dipotong kemudiannya bertindak mengubah laluan membelok memasuki simpang di kanan jalan.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.