Pembinaan Jambatan Kg Sanang Dalit perlu disegerakan: Ellron

SOOK: Masalah jambatan Kampung Sanang Dalit rosak akibat banjir kilat belum diselesaikan disebabkan kos pembinaan menelan belanja ratusan ribu ringgit.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, setakat ini pihaknya sudah mengemukakan masalah tersebut kepada Jabatan Kerja Raya, Keningau.

Ellron Angin

Katanya, masalah itu masih belum diselesaikan memandangkan kos pembinaannya memerlukan peruntukkan ratusan ribu ringgit.

“Sehingga kini kami masih belum mendapat jawapan dari pihak berwajib, saya menggesa pihak berkenaan mempercepatkan pembinaan kemudahan.

“Jambatan ini sangat memberikan manfaat kepada penduduk setempat. Oleh itu keperluan untuk pembinaan dalam tempoh terdekat sangat diharapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) SOOK mengesa agar Kerajaan Negeri mengambil perhatian terhadap jambatan rosak itu kerana kemudahan itu menjadi penghubung diantara penduduk Kg Sanang Dalit dengan Kg Karamatoi.

Katanya, ia juga adalah laluan utama menghubungkan penduduk kampung ke Sook. Kini penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif lain yang jauh untuk sampai ke daerah kecil ini.

“Kerosakan itu juga menyebabkan ramai dalam kalangan penduduk kampung tidak dapat memasarkan hasil pertanian,” katanya.

Rentetan permasalahan itu, pembinaan jambatan baharu itu telah dimasukkan dalam Unit Pembangunan Ekonomi Nasional (UPEN) dibawah Skim Bencana Alam sebagai usaha memastikan masalah berkenaan mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan. 

Lingkungan, iaitu penduduk kampung kecewa apabila masalah mereka tidak diambil perhatian kerajaan.

“Sudah dua tahun kami menunggu pembinaan jambatan baharu tetapi tiada pun usaha oleh pihak berwajib sehingga hari ini.

“Kami pun mahu menikmati limpahan pembangunan sehingga di sini, janganlah luar bandar diabaikan,”katanya.