Pembinaan Batalion PGA Keningau, Kunak perlu dipercepatkan – Hajiji

KOTA KINABALU : Pembinaan Kompleks Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) membabitkan daerah Keningau serta Kunak perlu dipercepatkan bagi mengukuhkan lagi tahap kawalan keselamatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, selain itu pembinaan kedua-dua kompleks akan mampu menangani sebarang ancaman khususnya di kawasan perairan Pantai Timur.

Katanya, kawasan Sabah negeri yang luas dikelilingi tiga lautan – Laut China Selatan di barat, Laut Sulu di timur laut manakala Laut Sulawesi di timur, serta di sebelah selatan, Sabah bersempadan dengan Indonesia.

“Tambahan dua kompleks PGA ini adalah perlu bukan saja untuk menghentikan gerakan subversif tetapi juga menghalang kegiatan penyeludupan bahan api, kayu balak, dadah dan lain-lain,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran buku Op Daulat Tanduo bertajuk ‘Pasukan Gerakan Am, Briged Sabah: Eliminating Terrorist and The Fifth Column in Kampung Tanduo, Lahad Datu’ di Menara Kinabalu, di sini hari ini. 

Hajiji berkata, dua batalion baharu itu mengukuhkan lagi kawalan dan kedudukan PGA di Sabah yang ketika ini diperkuatkan lima batalion sedia ada iaitu di Kinarut, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Beluran.