Pemberian dos penggalak (booster) di Sabah bermula hari ini

KOTA KINABALU: Kira-kira 60,000 petugas barisan hadapan dan 193,953 warga emas serta mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi layak mendapat dos penggalak (booster) vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah mulai hari ini.

Melancarkan program pemberian dos penggalak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sini hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata program ini akan dilaksanakan dalam dua peringkat.

Beliau berkata, peringkat pertama adalah untuk petugas barisan depan kesihatan dan bukan penjagaan kesihatan mulai hari ini (20 Okt) hingga 20 Nov, sementara peringkat kedua untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas serta golongan komorbiditi akan bermula pada 2 November.

Dos penggalak ini adalah percuma di bawah PICK dan diberikan kepada penerima secara sukarela setelah melengkapkan vaksinasi atau dos kedua sekurang-kurangnya enam bulan sebelumnya.

Pada masa ini, Kementerian Kesihatan memutuskan bahawa dos penggalak vaksin Covid-19 hanya untuk mereka yang telah menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech atau Comirnaty.

“Walaupun menerima dos penggalak ini adalah sebagai pilihan bagi individu, adalah sangat disarankan agar mereka mengambilnya untuk mendapatkan perlindungan optimum dari Covid-19,” kata Hajiji, sambil menambah bahawa dos penggalak juga untuk mereka yang didapati mempunyai kekebalan imuniti yang menyusut setelah enam bulan melengkapkan vaksinasi mereka.

Menurut Ketua Menteri, dos penggalak ini akan diberikan di klinik kerajaan dan swasta yang terpilih di bawah pengawasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.

Individu yang memenuhi syarat akan diberitahu melalui aplikasi MySejahtera, sementara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan membuat pengumuman melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon bagi mereka yang tidak menggunakan aplikasi tersebut.

Dalam perkembangan lain, Hajiji menggesa orang ramai agar terus mengambil langkah berhati-hati berikutan kebenaran untuk perjalanan rentas daerah dan negeri serta pembukaan semula beberapa sektor ekonomi di negeri ini.

“Kita mesti memastikan bahawa kita mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP). Kita harus melindungi bukan sahaja diri kita sendiri tetapi juga orang lain di sekeliling kita, terutama keluarga kita,” katanya.

Dia juga meminta mereka yang belum diberi vaksin untuk melakukannya di PPV, hospital atau klinik terdekat atau mengunjungi program jangkauan luar (outreach) yang diadakan di kawasan dekat dengan mereka.

“Silakan pergi dan dapatkan vaksin. Kita ingin melandaikan lekuk Covid-19 sebanyak mungkin,” katanya.

Setakat 18 Oktober, 70.8 peratus orang dewasa berusia 18 tahun ke atas di Sabah telah melengkapkan vaksinasi sementara 319,707 atau 73,67 peratus daripada 434,000 remaja berusia di atas 12 tahun telah menerima satu dos vaksin.

Kira-kira 50.31 peratus atau 218.367 remaja (berumur 12 tahun ke atas) di negeri ini telah melengkapkan vaksin pada 18 Oktober.

Hajiji berkata, 2,355,859 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 sementara 2,140,780 juta telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Ketua Menteri juga mengetuai para menteri Kabinet Negeri untuk menerima dos penggalak mereka sebagai tanda pelancaran program tersebut.