KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli UMNO tidak terbuai dengan permainan pihak yang memang tidak senang dengan kewujudan Kerajaan Perpaduan yang kini semakin stabil.
Katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan ini adalah persetujuan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH).
Ditanya mengenai penerimaan akar umbi atas kerjasama dengan UMNO bersama DAP dan PKR, katanya, keserasian antara parti semakin bertambah dan di peringkat akar umbi, UMNO mempunyai kaedah tertentu untuk melakukan penjelasan mengenai kerjasama itu.
Katanya, penjelasan itu sudah dimulakan dan dalam sesi taklimat dengan Ketua Penerangan semalam pun perkara itu sudah dijelaskan.
“Setiausaha Agung (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) sudah memberikan penjelasan secara kronologi mengenai perkara itu.
“Perkara ini sudah tidak timbul lagi dan di dalam taklimat Presiden pun saya sudah menyebutnya dan malam tadi Timbalan Presiden pun menyebut perkara sama.
“Saya fikir sudah berlaku pencerahan yang sangat jelas dalam hal ini,” katanya.
Mengulas kegusaran akar umbi mengenai kerjasama dengan DAP itu menyebabkan tindakan memboikot PRN, katanya, perkara itu akan ditangani secara dalaman.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai ura-ura berlaku gerakan boikot UMNO oleh akar umbi parti pada pilihan raya negeri (PRN) kerana tidak bersetuju dengan kerajasama bersama DAP, menegaskan isu itu akan diselesaikan secara dalaman.
“Usul itu (selesai secara dalaman) akan dibangkitkan sekiranya terdapat gerakan (pihak) yang tidak bersetuju dengan keputusan parti untuk bekerjasama dengan seteru lama politik iaitu DAP dan PKR bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Itu kita akan usulkan secara dalaman,” katanya.