KIULU : Tindakan pihak pembangkang yang mempolitikkan isu runtuhan jalan di KM2.45 Jalan Tamparuli-Kiulu susulan hujan lebat baru-baru ini sangat dikesali semua pelbagai pihak.
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Kiulu, Rhodes Panilau berkata, runtuhan berlaku akibat bencana alam dijadikan modal politik, sedangkan tindakan proaktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai untuk menyelesaikannya.
Katanya, ADUN Kiulu jelas membuktikan komitmennya konsisten dalam menangani isu infrastruktur di kawasan tersebut.
“Kita kesal kerana pihak pembangkang lebih gemar menuding jari tanpa mengambil kira usaha sedang dilakukan.
“Masalah ini sudah wujud sewaktu Presiden KDM memegang jawatan penting sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap JKR selama lebih dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rhodes berkata, ADUN Kiulu komited dalam menyelesaikan isu ini dengan mengadakan pertemuan serta perbincangan berterusan bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Jurutera JKR Daerah Tuaran.
“Untuk makluman, pada 22 April lalu, Joniston bertemu dengan Pengarah JKR Sabah, manakala pada bulan Mac beliau turut mengadakan sesi libat urus bersama Pejabat JKR Daerah Tuaran.
“Ini bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan masalah infrastruktur di kawasan Kiulu diberi perhatian serius,” jelas Rhodes.
Menurutnya, beliau berharap pihak pembangkang bekerjasama demi kepentingan rakyat sekali gus bukan sekadar menggunakan isu ini sebagai alat untuk meraih simpati politik.