Pemandu maut lori sampah terbabas dan terbalik di Kinabatangan

KINABATANGAN : Seorang lelaki maut apabila lori sampah yang dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut yang berlaku berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa Jaya, Kota Kinabatangan dekat sini pada pukul 11 pagi.

Pemandu maut lori sampah terbabas dan terbalik di Kinabatangan

Susulan itu, lima anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Hairul Jamal bersama kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Maklumat kejadian melaporkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori sampah milik Majlis Daerah Kinabatangan (M.D.K) yang telah terbabas sendiri dan terbalik.

Mangsa, Mohamad Izuan Mambasang, 39, yang merupakan pemandu lori dikatakan telah tersepit dan dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala dua orang mangsa lagi dikenali sebagai Ahmad Din Ahmad dan Muhd Saufi Ahmad yang merupakan kelindan dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.