Pemandu kereta pacuan empat roda maut dalam nahas di Simpang Klinik Putatan

KOTA KINABALU :Seorang pemandu kereta pacuan empat roda maut dalam nahas jalan raya di Jalan Highway Simpang Klinik Putatan, awal pagi tadi l.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi satu kenyataan, pada jam 4:53 pagi, menerima panggilan kemalangan jalan raya melalui talian MERS999.

Tambah kenyataan itu, bertindak atas maklumat, anggota Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Penampang seramai sembilan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera LFRT dan van EMRS sejurus panggilan diterima.

Komander Operasi, PBKI (KUP) Benny Lim melaporkan kemalangan itu melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Isuzu D-Max dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Katanya terdapat seorang lelaki telah tersepit dalam kereta Isuzu D-Max dan mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba yang tiba di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu Perodua Myvi, lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan oleh petugas KKM.