Pelancong China catat ketibaan antarabangsa tertinggi di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan jumlah kedatangan pelancong China iaitu seramai 262,070 daripada 706,383 ketibaan antarabangsa direkodkan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peningkatan itu juga disebabkan pengecualian visa  antara Malaysia dan China yang diumumkan pada Disember tahun lalu.

Katanya, jumlah pelawat China dicatatkan sebanyak 26,054 daripada 424,052 ketibaan antarabangsa bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan persekitaran perniagaan dan meningkatkan kemudahan pelancongan bagi menarik lebih ramai pelabur dan pelancong ke negeri ini.

“Sabah akan terus memberi komitmen bagi memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi yang erat dengan China,” katanya di sini semalam.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sangat mementingkan kerjasama yang saling menguntungkan dengan China dan berharap dapat mengenal pasti peluang baharu di masa akan datang.

“Sabah mempunyai banyak peluang untuk pelabur dalam teknologi hijau dan pertanian berteknologi tinggi, serta pembangunan bercampur.

“Begitu juga, sektor tenaga menyediakan peluang yang besar, dan walaupun minyak dan gas kekal sebagai sumber pendapatan penting untuk Sabah, kami mengalu-alukan pelabur untuk meneroka teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma, serta peluang pasaran karbon,” jelas Hajiji.

Menurutnya, empat bulan lalu Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara kita sentiasa menjadi rakan baik dan menikmati hubungan mesra. China adalah rakan dagang terbesar bagi Malaysia dan Sabah.

“Ini telah menyumbang kepada banyak kerjasama merentasi pelbagai sektor, membawa manfaat yang nyata kepada kedua-dua negara dan rakyat di kedua-dua pihak.” kata Hajiji.