Pelabur China di jemput terokai Ekonomi Biru di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Pelabur China dijemput meneroka konsep Ekonomi Biru dengan kerjasama Kerajaan Sabah bagi membangunkan sektor pemprosesan makanan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah melaksanakan konsep ini memerlukan penggunaan sumber laut secara mampan untuk pembangunan ekonomi, menjana pekerjaan dan meningkatkan kehidupan.

Katanya, Sabah mempunyai pantai terpanjang di Malaysia seluas 1,000 kilometer untuk penternakan ikan dan hasil laut lain sekali gus berpotensi besar untuk perkongsian menang-menang.

“Pelabur China harus mempertimbangkan sektor tenaga, merangkumi sumber tradisional seperti bahan api fosil dan pilihan baharu yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin.

“Melabur dalam sektor tenaga, anda memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan kuasa boleh dipercayai sambil menyumbang kepada masa depan tenaga yang lebih mampan.

“Sabah mengalu-alukan elabur untuk meneroka tenaga boleh diperbaharui teknologi solar dan storan, hidro, geoterma, dan peluang pasaran karbon di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, terdapat juga banyak peluang pelaburan dan perniagaan dalam minyak dan gas di Sabah.

“Industri ini berkembang pesat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini kerana kerajaan saya telah berjaya berunding untuk mengawal pengeluaran dan bekalan minyak dan gas yang lebih besar dengan syarikat minyak negara, PETRONAS.

“Pegangan Sabah dalam sumber minyak dan gas akan terus meningkat dengan lebih banyak telaga akan datang. Terdapat potensi besar untuk pelaburan dan peluang perniagaan selanjutnya dalam pembuatan hiliran dan perkhidmatan sokongan,” jelas Hajiji.