Pejuang akui cabaran getir pada PRU akan datang

KUALA TERENGGANU: Parti Pejuang mengaku berdepan cabaran yang sangat getir menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 akan datang kerana ia adalah sebuah parti baharu yang masih kecil berbanding parti ‘gergasi’ di dalam kerajaan.

Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata parti itu belum pun cukup usia setahun, setelah diluluskan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada Julai tahun lepas.

“Jumlah keahlian pun tak berapa ramai walaupun sudah meningkat, jentera pun belum cukup terlatih.… kita berdepan dengan ‘gergasi’ kerana parti-parti lain sudah lama bertapak termasuk di Terengganu ini.

“Cabarannya sangat getir untuk kita lalui namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus berusaha kerana kita tahu perjuangan ini adalah jangka masa panjang. Insya-Allah kita akan berjaya membawa perubahan yang diidamkan oleh rakyat di seluruh negara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kekalahan teruk Pejuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini perlu dijadikan iktibar agar parti itu lebih realistik dan ‘mengukur baju di badan sendiri’ sebelum mengatur strategi dan percaturan politik dalam negara kerana Pejuang tidak mahu lagi bergelar pembangkang selepas ini.

– BRRNAMA