KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa jutaan ringgit yang masuk ke Yayasan Akalbudi (YAB) milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sumbangan dan bukan hasil aktiviti menyalahi undang-undang.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menunjukkan hasil berkenaan adalah daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang atau tindakan yang dilakukan oleh tertuduh yang boleh menyebabkan atau melakukan kesalahan yang serius.
“Berdasarkan alasan berkenaan, kami berhujah bahawa perkara ini tidak dibuktikan oleh pihak pendakwaan – tidak ada bukti bahawa wang yang terlibat adalah hasil aktiviti atau kegiatan haram yang dimaksudkan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA),” hujahnya di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hisyam berkata tertuduh, dalam kebanyakan keadaan, tidak mengetahui atau mempunyai kaitan dengan pemilik cek (sumbangan) tersebut.
“Urus niaga itu dilakukan secara terbuka dan disimpan dalam akaun amanah firma guaman Tetuan Lewis & Co, dan jejak wang yang berkaitan dengan cek dapat dilihat tanpa usaha tertuduh untuk menyembunyikan mana-mana cek itu,” katanya.
Peguam itu berkata saksi pendakwaan ke-39, Leong Siew Kong, pengurus cawangan Maybank Dataran Maybank di sini mengesahkan bahawa bank itu tidak menerima surat daripada Lewis & Co yang menyatakan bahawa mereka curiga terhadap dana tersebut.
Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa pelbagai individu dan syarikat menyumbang kepada YAB dan wang itu dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co.
“Beliau kemudian mengesahkan bahawa alasan wang dimasukkan di situ adalah untuk memperoleh faedah lebih tinggi dan perkara itu bukan suatu yang salah.
“Semasa pemeriksaan semula, Leong berkata tidak ada amaran dikeluarkan yang memerlukan laporan dibuat kepada bank pusat kerana ia transaksi normal,” kata Hisyam.
Peguam itu berkata YAB menerima sumbangan daripada Yayasan Al-Bukhari (RM500,000), Chia Bee Enterprise Sdn Bhd milik dermawan Wong Sang Woo (RM10 juta) dan Pengarah Bukan Eksekutif MyEG Services Bhd Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah (RM9 juta).
“Mohd Jimmy memberi keterangan bahawa beliau menderma kepada YAB bagi tujuan amal (membina masjid) dan mengesahkan bahawa ‘akad’ telah dilakukan bagi menandakan penerimaan sumbangan tersebut,” katanya.
Sementara itu, mengenai cek yang dibayar oleh individu dan syarikat lain kepada YAB, Hisyam berhujah pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti bahawa cek daripada Cergas Murni Sdn Bhd, HRA Teguh, Ong Weng Fatt, Hwa Thong Bags Industries, Hussein Annifah, Rajan Thurairetnam, Rajan Gunaratnam, Patt Siew Ming, Mohyiddin Al-Halabi, Tarbush Al-Halabi, AlHalabi Lounge Sdn Bhd dan Mubarak Hussain, diperoleh secara salah.
“Cek yang diperoleh terutama melalui SP81 (Omar Ali Abdullah), kami mengatakan bahawa sumber wang itu sah kerana ia adalah sumbangan daripada Yayasan Al-Bukhari.
“Selain itu, adalah salah bagi pihak pendakwaan untuk mengatakan bahawa semua wang sumbangan itu ditukar kepada atau cek jurubank atau draf permintaan untuk mengurangkan jejak wang kerana banyak bukti daripada pemilik cek jurubank yang mengesahkan bahawa tidak ada apa-apa yang aneh di sebalik transaksi cek berkenaan,” katanya.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan – 12 melibatkan CBT, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan ering puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Pasukan pembelaan akan menyambung hujah mereka pada Isnin.
— BERNAMA