PBS kekal bersama GRS, tolak kerjasama dengan Warisan – Maximus

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak tawaran untuk bekerjasama dengan Warisan sebaliknya mahu terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini mentadbir di negeri ini

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, partinya dianggap sebagai salah satu pengasas GRS serta menyifatkannya sebagai “murni dan berkekalan”, dalam gabungan “berasaskan rakyat.”

“Kami menjemput Warisan dan penyokong untuk berjuang dengan matlamat sama, iaitu bersama membangunkan Sabah serta menjamin negeri yang makmur dan selamat, bebas daripada pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maximus menggesa parti politik di Sabah supaya kembali ke akar umbi asas politik negeri itu ketika menyertai Malaysia pada 1963.

Beliau berkata, parti Sabah harus menyasarkan “kesatuan politik” seperti yang dicapai oleh parti politik terdahulu semasa penerimaannya sebagai sebuah negeri dalam Malaysia pada 1963 dan cita-cita seperti itu harus diteruskan dengan solidariti bersama negeri jiran, Sarawak.

“Mana-mana parti politik Sabah boleh menyokong matlamat dan aspirasi GRS tanpa menjadi ahli gabungan.

“Kami dalam PBS menghargai gerak kerja politik Warisan dan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk bekerjasama pada pilihan raya umum akan datang, tetapi sebagai parti tempatan yang berbilang kaum, berpengalaman, kami komited dan setia sepenuhnya kepada GRS dan rakan gabungannya,” katanya.