KOTA KINABALU: Kabinet negeri bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi memantau isu air dan elektrik di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Pasukan petugas itu akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong akan bermesyuarat seminggu sekali atau setiap dua minggu untuk meneliti semua isu berkaitan bekalan air dan elektrik,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, Kabinet Negeri juga telah mengarahkan semua ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri mengelak daripada mengumumkan atau mengeluarkan kenyataan mengenai projek pembangunan tanpa sebarang lampu hijau daripada Kabinet.
Beliau berkata semua GLC Negeri dikehendaki merujuk kepada menteri masing-masing atau Kabinet Negeri sebelum membuat sebarang perjanjian bagi mengelak komplikasi pada masa hadapan.
“Kabinet memandang serius perkara itu,” katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Hajiji menyatakan beberapa pencapaian terutamanya pengambilalihan kuasa kawal selia ke atas bekalan kuasa oleh Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau juga mengakui prestasi kukuh anak syarikat Kerajaan Negeri yang baru ditubuhkan, SMJ Energy Sdn Bhd.
Beliau mendedahkan bahawa SMJ Energy Sdn Bhd telah pun membayar pinjaman RM5 juta kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh kurang setahun penubuhannya.
“Daripada syarikat aset sifar, ia mempunyai lebih daripada RM5 bilion aset pada Disember 2023,” katanya sambil menambah bahawa SMJ Energy juga telah berjaya menerbitkan sukuk wakalah RM900 bilion di bawah program sukuk wakalah berbilang mata wang syarikat sehingga RM10 bilion dalam bentuk nominal tahun lepas.
Beliau berkata kejayaan lain di bawah kendalian SMJ Energy ialah pengambilalihan 50 peratus ekuiti dalam pengeluaran medan minyak Samarang, 25 peratus kepentingan dalam Samur dan loji LNG berhampiran pantai di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Hadir sama tiga Pembantu menteri kepada ketua menteri Datuk Abidin Madingkir, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Datuk Ruslan Muharam, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Peguam Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan ketua-ketua jabatan.