SANDAKAN: PAS Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan diambil kerajaan negeri yang berhasrat melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mencadangkan pembukaan beberapa sektor ekonomi di negeri ini.
Ketua Penerangannya, Ahmad Dullah berkata, PAS melahirkan keyakinan terhadap pendirian yang dibuat Ketua Menteri itu selepas melihat kewajaran serta keutamaan dalam mengambil kira pertimbangan kepada semua faktor.
Katanya, kes jangkitan COVID-19 harian di Sabah kini berada di bawah trend yang terkawal sekali gus yakin Sabah bukan berada dalam kategori negeri yang merekodkan kadar jangkitan harian yang tinggi.
“Pembukaan operasi beberapa sektor ekonomi dan perniagaan dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung rakyat sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan bagi meneruskan kelangsungan hidup rakyat di negeri ini.
“Adalah wajar kerajaan pusat memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk melahirkan hasrat melaksanakan PPN dalam konteks Sabah dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Ahmad berkata. sekiranya kelonggaran diberikan, ia sudah tentu dipantau sepenuhnya agar kes harian COVID-19 tidak melebihi angka terentu disamping mengambil tindakan pencegahan yang perlu dilaksanakan segera.
“Ini termasuklah menghadkan semula kebenaran operasi sektor ekonomi dan perniagaan di Sabah agar tidak berlakunya lagi peningkatan kes harian COVID-19 di negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan komitmen PAS Sabah sentiasa komited bersama kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat khususnya berkait dengan isu kebajikan dan keperluan rakyat di negeri ini..
“Ini termasuklah mengwujudkan tabung Covid-19 dan menggerakkan jentera PAS di seluruh negeri bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan sejak sebelum PKP 1.0 dilaksanakan, di seluruh negara,” katanya.
SabahNewsToday