PAS Sabah gerakkan jentera hadapi bencana banjir

SANDAKAN: PAS Sabah menggerakkan jenteranya di seluruh negeri bagi menghadapi bencana banjir melanda beberapa daerah baru-baru ini.

Antara jentera yang digerakkan ialah Jabatan Amal Malaysia, Lajnah Kebajikan, Ameerah, Briged Muslimat dan beberapa agensi lain di bawah PAS Sabah.

Perkara tersebut dinyatakan Pengerusi Khidmat Malaysia Sabah, Sahar Abdul Majid dalam satu kenyataan semalam.

“Selain menggerakkan jentera untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir, kami juga menyerahkan bantuan bakul makanan kepada pihak yang terjejas disamping membuka tabung khas bagi membantu mangsa,” katanya.

“Orang ramai yang berhajat untuk menyumbang boleh salurkan ke akaun Bank Islam PAS Negeri Sabah, nombor akaun 100161010082855 dengan rujukan Khidmat Malaysia,” katanya.

Dalam kesempatan itu juga, beliau mengingatkan rakyat Sabah agar sentiasa berwaspada susulan hujan berterusan yang boleh mengakibatkan berlakunya banjir dan segera berpindah ke tempat yang lebih selama jika berlaku banjir.

“Kami akan bekerja keras serta mempercepatkan menggerakkan misi bantuan di kawasan Pantai Barat yang melibatkan Pitas dan Kota Marudu serta di Segaliud dan Kinabatangan,” katanya.

“Saya berharap agar rakyat yang terkesan dapat bersabar dengan ujian ini dan sentiasa berhati-hati menghadapi musibah ini,” katanya.