KOTA BELUD: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan hasrat parti pembangkang ingin menjalin kerjasama berikutan parti itu menunjukkan mempunyai visi serta objektif jelas untuk rakyat di negeri ini.
Setiausaha Agungnya Datuk Joniston Bangkuai berkata, PBS perlu sentiasa mantap dan kekal fokus untuk memulihkan kekuatan parti bagi mendapatkan penghormatan sama ada daripada sekutu mahupun lawan mereka.
“PBS adalah parti yang ikhlas dan berintegriti tinggi dan kita mahu memperkasakan PBS supaya menjadi parti yang disegani dan apabila parti lawan menganggap kita ikhlas dan jujur dalam perjuangan, ia menunjukkan PBS adalah parti yang baik.
“Selain itu dalam konteks kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula, PBS adalah rakan kongsi utama dan diberi peranan penting untuk dimainkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup bengkel pengurusan strategik anjuran jawatankuasa Mukim Woriu parti itu di Kampung Sorob di sini, semalam.
Sebelum ini, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal menyatakan bahawa parti pimpinannya sedia bekerjasama dengan PBS.
Shafie dilaporkan berkata, PBS mempunyai sejarahnya di Sabah, selain beliau secara peribadi mengenali pemimpin parti itu terutama Presidennya, Datuk Seri Maximus Ongkili.
Maximus dalam kenyataan balasnya selepas itu turut mengalu-alukan hasrat parti lawannya itu bagi memastikan negeri Sabah menjadi lebih baik.
Bagaimanapun beliau tidak menggariskan langkah jelas dalam menjalin kerjasama politik eksklusif dengan parti pembangkang itu.
Dalam pada itu, Joniston berkata, PBS mampu menjadi parti pilihan golongan muda kerana perjuangannya yang menarik dan konsisten dalam mengharungi pelbagai cabaran sejak penubuhannya pada 1985.
Katanya, sebagai parti tempatan tertua yang mempunyai 37 tahun pengalaman, PBS berkembang menjadi sebuah parti yang disegani dan berpandangan jauh dengan banyak pihak menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan PBS.
“Dengan pewartaan rang undang-undang yang membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengundi, PBS harus mempunyai gabungan sokongan belia yang seimbang dan memberi peluang kepada orang muda untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan mereka,” katanya.
Terdahulu pada majlis semalam, Joniston turut menerima lebih 300 permohonan keahlian baharu PBS daripada enam cawangan parti itu di Kota Belud.