Padah Tunjuk Kemaluan Kepada Seorang Remaja, Lelaki Ditahan Polis

TAWAU : Seorang lelaki ditahan selepas disyaki berkelakuan tidak senonoh sambil menunjukkan kemaluannya kepada seorang remaja sekolah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 15 tahun itu ketika dalam perjalanan balik dari sekolah menuju ke rumahnya kemudian dihampiri seorang lelaki yang tidak dikenali.

Katanya, suspek berumur 30 tahun itu mulanya bertanya arah kepada mangsa ketika beliau memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Suspek tiba-tiba telah bertindak berkelakuan tidak senonoh sambil menunjukkan kemaluannya kepada remeja terbabit menyebabkan mangsa melarikan diri ke kawasan rumah berhampiran.

“Risau terhadap keselamatan dirinya, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis berdekatan berkaitan kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Jasmin berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai Tawau, bertindak untuk mengesan serta menahan suspek berkenaan.

“Kita berjaya menahan suspek di kawasan rumahnya di Merotai, Tawau.

“Pemeriksaan awal terhadap tubuh badannya, kita tidak menemui apa-apa barang yang yang boleh disabitkan kesalahan,” jelas Jasmin.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” kata Jasmin.