SANDAKAN: Lapan pegawai yang terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan dan Malaysian Palm Oil Board (MPOB) Cawangan Sandakan, Sabah telah menjalankan Ops Tiris Bersepadu di sekitar daerah ini, hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah
Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, Ops Tiris Bersepadu ini dijalankan bertujuan untuk mencegah dan membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan khasnya minyak masak bersubsidi di daerah Sandakan.
Katanya, hasil perkongsian maklumat daripada orang awam yang diterima oleh MPOB Cawangan Sandakan, satu serbuan oleh pasukan ini telah dijalankan kira-kira pada jam 2.30 petang di sebuah premis gudang yang disyaki ada menyimpan minyak sawit tanpa lesen MPOB yang sah di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.
“Semasa serbuan dijalankan, tidak ada kehadiran pekerja di gudang terbabit.
“Pemeriksaan di gudang berkenaan telah mendapati tiga lori tangki minyak sawit tanpa muatan minyak sawit, 13 tangki IBC yang tidak berisi, dua buah skid tank yang tidak berisi dan sebuah lori tangki minyak diesel yang tidak berisi.
“Pemantauan selanjutnya akan dijalankan terhadap gudang terbabit. Pemeriksaan seterusnya oleh pasukan ini telah dijalankan di sebuah kilang membungkus semula minyak masak bersubsidi di kawasan Sibuga, Sandakan” katanya menerusi kenyataan.
Azdy Zukkry berkata, pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap kilang berkenaan dengan menyemak dokumentasi melibatkan buku stok serta dokumen transaksi dan pengedaran minyak masak bersubsidi yang dikeluarkan oleh kilang terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan mematuhi segala perundangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.