Operasi Gempur: Tujuh lelaki ditahan terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah

KENINGAU : Polis menahan tujuh lelaki selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam ‘Operasi Gempur’ di sekitar Keningau dan Tambunan beemula 1 hingga 6 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata, seorang daripada mereka ditahan di bawah Seksyen 39A(1), manakala empat akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama melibatkan dadah jenis syabu seberat 7.13 gram.

Katanya, dua lagi lelaki turut ditahan di bawah seksyen sama atas kesalahan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek juga didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Operasi ini dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau bagi mengekang aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di sekitar Keningau dan Tambunan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Yampil berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi ini bagi memastikan keamanan serta kesejahteraan masyarakat Keningau sentiasa terjamin.