Nyahklasfikasi tragedi ‘Double Six’ satu kelegaan – Hajiji

KOTA KINABALU:Keputusan Kabinet Kerajaan Persekutuan untuk menyahklasifikasi laporan akhir siasatan nahas pesawat Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri Tun Fuad Stephens bersama beberapa menteri Kabinet negeri pada 1976, merupakan satu kelegaan, kata Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri berkata langkah itu memberikan kelegaan kerana ia akan merungkaikan apakah sebenarnya terjadi pada hari yang menyaksikan 11 orang terkorban dalam nahas itu.

“Satu kelegaan bukan sahaja kepada keluarga mereka yang terkorban dalam nahas pesawat itu tetapi juga kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan menerima dapatan di dalam laporan nahas itu yang dikenali sebagai “Double Six” kerana ia berlaku pada 6 Jun, 1976 dengan hati yang terbuka.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan itu telah dinyahklasifikasikan menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan akan didedahkan kepada  umum pada minggu hadapan.