Nahas jalan raya babit empat kenderaan sebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Batu 36 Jalan Telupid

BELURAN : Nahas jalan raya babitkan empat kenderaan yang berlaku di Batu 36, Jalan Telupid – Sandakan dekat sini tengah, hari tadi menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Difahamkan, jalan sesak dianggarkan sejauh lima kilometer bermula dari Batu 32, Check Point Sandakan hingga ke lokasi kejadian.

Kesesakan lalu lintas yang teruk hingga banyak kenderaan memilih untuk berhenti sementara di tepi jalan.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.12 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bersama kenderaan utiliti diketuai PBK II Mohd Arsad Kadir telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Laporan kemalangan itu melibatkan empat kenderaan iaitu lori treler 20 tan yang membawa muatan tanah, lori 6 tan yang membawa muatan tong gas dan dua kereta jenis pacuan empat roda.

Kesemua empat pemandu lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan dan dilaporkan telah keluar dari kenderaan masing-masing sebelum pasukan Bomba tiba.