Musa mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa di Bulan Ramadan

KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan kepada seluruh umat Islam.

Beliau berkata, umat Islam mula berpuasa pada hari esok seperti yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi siaran RTM malam tadi.

“Ibadah puasa merupakan rukun Islam yang ketiga dan memberikan pengajaran yang sangat mendalam kepada umat Islam.

“Ini merupakan salah satu hikmah besar dalam pelaksanaan ibadah puasa adalah menginsafi kesusahan yang dihadapi oleh golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Setiausaha Perhubungan Istana Negeri, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Musa menyeru seluruh umat Islam agar menghayati sepenuhnya ajaran Islam yang menitikberatkan nilai keprihatinan serta amalan membantu mereka yang memerlukan.

“Ibadah puasa pada bulan Ramadan ini menjadi platform bagi umat Islam untuk merenungi nasib dan kebajikan golongan miskin,” jelas Musa.

Sementara itu, satu majlis kesyukuran dan doa selamat diadakan di Istana Negeri malam tadi sempena melihat anak bulan Ramadan.

Musa turut hadir menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, selain membaca Surah Yasin serta bertahlil bersama lebih kurang 120 orang tetamu.

Majlis tersebut dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Suaidi Kuanting.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bongsu Aziz Jaafar, membacakan keputusan tinjauan ahli jawatankuasa melihat anak bulan yang diadakan di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, kepada Yang Terutama Tun.