MoU draf cadangan bersama GRS di peringkat akhir hampir selesai – Christina

KOTA KINABALU: Draf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) Sabah dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam proses hampir siap.

Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew berkata, apa juga keputusan yang dicapai adalah berdasarkan persetujuan bersama dalam terma kerjasama bipartisan dengan kerajaan negeri. 

“Saya harap ini akan menjelaskan kekeliruan yang wujud mengenai kenyataan media yang dilakukan baru-baru ini mengenai isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berkata, PH Sabah yang terdiri PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mula berbincang cadangan MoU berkenaan sejak sebulan lalu. 

Katanya, semua komponen parti secara aktifnya membincangkan perkara ini demi kestabilan kerajaan dalam usaha mengawal penularan COVID-19 di Sabah. 

Menurutnya, isu lain dibincangkan ialah hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

 Beliau juga menjelaskan tidak dapat mempengerusikan Mesyuarat berkenaan pada malam Sabtu lalu dan diwakili oleh Setiausaha PH Sabah Mustapha Sakmud.

“Ketika ini saya masih dalam hospital selepas menjalani pembedahan berikutan kecederaan yang saya alami.

“Saya terjatuh ketika melaksanakan tinjauan serta penyerahan bakul makanan di Tawau baru-baru ini dan patah tulang di bahagian pergelangan tangan,” katanya.