Mohamad, Arthur komited lakukan terbaik demi rakyat

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menyatakan komitmennya untuk melakukan yang terbaik selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II dalam barisan Kabinet baharu kerajaan Pusat yang diumumkan hari ini.

Dalam hantaran di laman Facebook, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya kudrat yang ada padanya untuk melaksanakan tugas baharu yang diamanahkan itu.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggalas tanggungjawab di Kementerian Pendidikan.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan dan amanah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II. Insya-Allah dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara.

“Terima kasih juga kepada (Ketua UMNO Sabah) Datuk Seri Bung Moktar Radin dan rakan pimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Sabah dan seluruh rakyat di Parlimen Kimanis di atas dorongan dan doa.

“Doakan saya diberi kekuatan dan hidayah dalam melaksanakan tugas ini. Alhamdulillah,” katanya laporan Berita Harian hari ini.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis adalah antara dua muka baharu mewakili Sabah dilantik membarisi Kabinet baharu Ismail Sabri selain empat muka lama termasuk dua menteri yang dilantik semula.

Seorang lagi muka baharu dari Sabah ialah Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.

Empat muka lama yang dilantik semula ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Arthur sebelum ini memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), manakala Maximus, Ronald dan Jonathan kekal dengan portfolio masing-masing.

Sementara itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya sebagai amanah besar yang perlu ditunaikan dengan sebaik mungkin.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), berkata tanggungjawab baharu itu bukan satu keistimewaan, sebaliknya ia adalah tugas berat sejajar usaha menangani isu kesihatan dan memulihkan ekonomi negara.

“Tanggungjawab yang baharu ini bukannya suatu keistimewaan tetapi ia adalah satu amanah yang sangat besar yang saya akan cuba tunaikan dengan sebaik yang mungkin demi kesejahteraan rakyat.

“Susulan daripada pesanan Perdana Menteri kita, keutamaan akan diberikan kepada kesihatan dan keselamatan rakyat, kebajikan rakyat serta kelangsungan ekonomi negara.

“Kita akan buat yang terbaik untuk Keluarga Malaysia menghadapi cabaran keadaan dunia sekarang yang luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Arthur turut merakamkan penghargaan kepada Ismail Sabri kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk menyertai jemaah Kabinet Pusat pimpinannya.

“Melalui tanggungjawab yang baharu ini, saya berjanji akan terus buat yang terbaik dalam apa jua keadaan demi negara Malaysia,” katanya.